BIMP-EAGA Perlu Beralih Daripada Dialog Kepada Pelaksanaan Projek Konkrit
MIRI: Kerjasama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) perlu beralih daripada sekadar platform dialog kepada pelaksanaan projek dan inisiatif konkrit yang mampu memperkukuh hubungan serantau, perdagangan serta pelaburan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan komitmen negara anggota BIMP-EAGA diterjemahkan kepada kemajuan sebenar, khususnya dalam pergerakan manusia, barangan dan aktiviti ekonomi merentasi sempadan.
“BIMP-EAGA bukan lagi sekadar mengenai kerjasama dan dialog. Keutamaan sekarang ialah pelaksanaan — mengubah kluster dan kumpulan kerja kita kepada projek konkrit, kesalinghubungan yang lebih kukuh, perdagangan dan pelaburan yang lebih besar serta manfaat yang nyata kepada rakyat dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan 4th BIMP-EAGA Trade Facilitation Cluster (TFC) Meeting anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Miri, pada Rabu.
Menurut Dato Sri Lee, BIMP-EAGA mempunyai kepentingan besar kepada Sarawak berikutan kedudukan negeri ini di Borneo serta hubungan rapat dengan negara-negara jiran.
Katanya, kerjasama serantau perlu memberi tumpuan kepada kesalinghubungan udara dan maritim, koridor darat, fasilitasi rentas sempadan, pelabuhan dan logistik, selain integrasi dengan sektor pelancongan serta perdagangan.
“Bagi masyarakat dan perniagaan, khususnya di kawasan sempadan, kesalinghubungan bukan sekadar mengenai infrastruktur. Ia juga mengenai sejauh mana mudahnya orang ramai melakukan perjalanan, sejauh mana cekapnya barangan bergerak dan bagaimana perniagaan boleh mengambil bahagian dalam peluang ekonomi serantau,” ujarnya.
Beliau turut menekankan peranan Trade Facilitation Cluster dalam memperkemas proses perdagangan dan pergerakan rentas sempadan melalui kerjasama agensi Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS), termasuk perkongsian pengalaman serta penyelesaian cabaran bersama.
Katanya, BIMP-EAGA Vision 2035 perlu dimanfaatkan bagi memastikan dasar dan perjanjian yang dipersetujui diterjemahkan kepada lintasan sempadan yang lebih lancar, pergerakan barangan dan manusia yang lebih cekap serta peluang ekonomi yang lebih baik.
Beliau yakin mesyuarat selama dua hari itu dapat memperkukuh kerjasama negara anggota dan memajukan agenda Trade Facilitation Cluster.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan delegasi dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina, selain wakil BIMP-EAGA Business Council, Asian Development Bank dan Malaysia National Secretariat, Kementerian Ekonomi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Siti Mang; Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya; Pengerusi Trade Facilitation Cluster, Jalaine M. Indol dan Ketua BIMP-EAGA Facilitation Centre, Effendi Jamaludin.- EDISI UKAS