PETRONAS Perkasa Budaya Keselamatan Bersama Komuniti Dalam Penyahtauliahan SSGP
TINJAR: PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) memperkukuh kesedaran keselamatan komuniti menerusi program bersama pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan kontraktor bagi memastikan pelaksanaan Projek Penyahtauliahan Fasa 1 Saluran Gas Sabah-Sarawak (SSGP) berlangsung secara selamat dan bertanggungjawab.
Wakil Pengurus Besar SSGP PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. (Aset Sarawak), Hazli Kipli berkata, kerjasama antara PETRONAS, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, kontraktor dan penduduk setempat penting bagi memastikan aspek keselamatan, kesihatan serta perlindungan alam sekitar terus diberi keutamaan.
“Dalam setiap pelaksanaan projek, termasuk Projek Penyahtauliahan SSGP, PETRONAS sentiasa menghargai peranan pemimpin masyarakat, ketua kaum, agensi kerajaan dan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Program Memperkasa Budaya Keselamatan Bersama Komuniti, PETRONAS SSGP dan Kontraktor di Pejabat Daerah Kecil Tinjar, di sini, pada Rabu.
Menurut Hazli, hubungan PETRONAS dengan masyarakat setempat bukan sahaja berasaskan pembangunan industri minyak dan gas, malah diperkukuh menerusi kerjasama, kepercayaan dan komitmen bersama demi manfaat masyarakat.
Katanya, pendekatan PETRONAS sentiasa berteraskan rasa hormat, keterbukaan serta kesediaan untuk mendengar pandangan masyarakat dalam pelaksanaan projek.
Program berkenaan turut memberi penerangan kepada komuniti mengenai potensi bahaya dan risiko berkaitan aktiviti penyahtauliahan, langkah keselamatan serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan.
Antara aktiviti Fasa 1 Projek Penyahtauliahan SSGP termasuk kerja perobohan Stesen Injap Sekatan (Block Valve) dan Stesen Perakam Data (Data Logger), penyingkiran papan tanda saluran paip, pemulihan tapak, penanaman semula vegetasi serta pemantauan alam sekitar.
Seramai 40 peserta menyertai program yang turut melibatkan wakil agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, komuniti setempat, PETRONAS dan kontraktor.
Antara kontraktor yang terlibat ialah Samling Timber Sdn. Bhd. dan Persafe Engineering Sdn. Bhd.
Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Tinjar, Deo Kenneth, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Long Bedian, Nikolas Bidin, Temenggong Masyarakat Kayan Bahagian Miri, Elizabeth Deng serta ketua-ketua masyarakat Daerah Beluru.- EDISI UKAS