56 Peserta Tiga Wilayah Sertai Kejohanan Ping Pong Lawas
LAWAS: Seramai 56 peserta dari Brunei, Sabah dan Sarawak menyertai Kejohanan Ping Pong Perseorangan Lawas Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ladico Lawas, pada Sabtu.
Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Awang @ Ibrahim Ahmad berkata, kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan menguji kemahiran dan menimba pengalaman, malah merapatkan hubungan masyarakat di zon utara.
“Bukan sahaja dapat bermain dan menimba pengalaman, tetapi kita dapat merapatkan hubungan bagi kawasan di zon utara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan kejohanan berkenaaan anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Lawas, Kelab AMT Lawas dan Kelab Sukan dan Sosial (KSS) Majlis Daerah Lawas.
Menurutnya, kejohanan seperti itu turut berperanan mencungkil bakat baharu serta memberi peluang kepada pemain meningkatkan teknik dan prestasi untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi.
“Harapan kita, melalui pertandingan ini kita dapat mencungkil bakat baharu yang kita harap dapat bersaing ke pertandingan akan datang di peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Kejohanan itu mempertandingkan kategori Super dan Premier dengan Voo Zheng Yan dari Beaufort muncul juara kategori Super, manakala Marzuki dari Lawas menjuarai kategori Premier.- EDISI UKAS