Projek Naik Taraf Tamu Kampung Petarikan Fasa 2 Capai 80 Peratus
LAWAS: Projek Naik Taraf Infrastruktur Tamu Kampung Petarikan, Merapok (Fasa 2) kini mencapai kira-kira 80 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung September ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemajuan projek berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak menyediakan kemudahan lebih baik kepada masyarakat luar bandar.
“Kemudahan yang dibangunkan perlu dimanfaatkan dan dijaga bersama masyarakat bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati dalam jangka panjang,” katanya ketika mengadakan lawatan dan tinjauan ke beberapa projek pembangunan di Merapok dan sekitarnya, pada Rabu.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan lantai konkrit, tiang dan bumbung, tandas baharu, saliran, tembok gabion dan titian konkrit, selain kerja landskap serta bekalan air dan elektrik.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau projek kemudahan pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Merapok yang dilaksanakan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Projek bernilai RM1.67 juta itu melibatkan pembinaan dua unit kuarters guru, sebuah bangunan tadika dan empat unit tandas baharu yang telah siap sepenuhnya.
Datuk Amar Awang Tengah turut menggalakkan masyarakat memanfaatkan tanah dan teknologi baharu untuk mengembangkan sektor pertanian, seiring pembangunan infrastruktur termasuk ‘Northern Coastal Highway’ (NCH) yang dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jienal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Setiausaha Majlis Daerah Lawas, Zulkifli Sahari. -EDISI UKAS