Sambutan Bulan Kebangsaan Kukuh Semangat Kekitaan Penjawat Awam Wisma Persekutuan Miri
MIRI: Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Wisma Persekutuan Fasa 1 Tahun 2026 menjadi wadah memperkukuh semangat patriotisme, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penjawat awam.
Ketua Nazir Cawangan Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Penyelenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan (JPPB), Majani Hossen berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar meraikan bulan kemerdekaan, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Wisma Persekutuan.
“Kerjasama dan semangat kekitaan penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan saling menyokong walaupun setiap jabatan mempunyai tugas, tanggungjawab serta organisasi berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Wisma Persekutuan Fasa 1 Tahun 2026 di sini pada Khamis.
Majani turut menghargai komitmen semua jabatan dalam menjayakan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang menyerlahkan kreativiti serta semangat patriotisme.
Program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Miri itu diisi dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, lafaz Ikrar Rukun Negara, gimik pelancaran Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta pelbagai pertandingan dan aktiviti kenegaraan.
Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri, Roley Lagir, Pegawai Penerangan Daerah Miri, Aidawatie Mustapha, Penolong Kanan Pengarah Tenaga Kerja, Dorrhea Chuat serta wakil jabatan dan agensi kerajaan. - EDISI UKAS