Pameran Hari Malaysia Ketengahkan Fakta Pembentukan Negara
KUCHING: Pameran Hari Malaysia 2026 di Plaza Merdeka di sini mengetengahkan dokumen-dokumen penting pembentukan Malaysia sebagai rujukan masyarakat dalam mendapatkan fakta tepat berhubung sejarah penubuhan negara, susulan pelbagai tafsiran yang mengelirukan di media sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pameran yang berlangsung dari 10 hingga 16 September itu penting dalam membantu masyarakat memahami proses pembentukan Malaysia yang melibatkan Sarawak, Sabah, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.
Menurut beliau, konsep Koridor Zaman Pembentukan Malaysia membawa pengunjung menelusuri kronologi pembentukan negara selain mengetengahkan dokumen, jawatankuasa dan suruhanjaya serta tokoh yang terlibat dalam proses tersebut.
“Sebab detik 16 September ini amat penting untuk difahami semua kerana kita sedar banyak kekeliruan.
“Dengan cabaran media sosial, dengan warga internet, dengan netizen dengan pelbagai interpretasi dan persepsi tentang sejarah Malaysia, saya rasa elok kita ambil kesempatan daripada Hari Malaysia yang diadakan di Sarawak ini untuk meletakkan fakta yang betul dalam satu persepsi yang betul supaya kita tidak keliru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sesi Pra-Tonton Pameran Hari Malaysia 2026 di Plaza Merdeka, di sini, pada Khamis.
Pameran berkenaan menampilkan lima segmen utama iaitu Denai Masa Pembentukan Malaysia, Dokumen Pembentukan Malaysia, Jawatankuasa dan Suruhanjaya Pembentukan Malaysia, Galeri Tokoh serta Galeri Kenegaraan: Jejak Identiti Malaysia.
Denai Masa Pembentukan Malaysia memaparkan kronologi sejarah dari 27 Mei 1961 hingga 9 Ogos 1965, manakala segmen Dokumen Pembentukan Malaysia mengetengahkan Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962, Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963, Akta Malaysia 1963 serta Watikah Pemasyhuran Malaysia 1963.
Segmen Jawatankuasa dan Suruhanjaya Pembentukan Malaysia pula menjelaskan peranan badan-badan utama dalam mendapatkan pandangan, meneliti cadangan serta membina persetujuan bersama ke arah pembentukan Malaysia, manakala Galeri Tokoh mengetengahkan sumbangan pemimpin daripada pelbagai wilayah.
Galeri Kenegaraan: Jejak Identiti Malaysia pula menghubungkan sejarah pembentukan negara dengan identiti dan tanggungjawab rakyat menerusi Rukun Negara, sejarah Bendera Malaysia, adab mengibarkan Jalur Gemilang serta makna logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Selain melihat bahan sejarah, pengunjung turut berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan dan Kahoot, menyaksikan persembahan PENTARAMA serta mengikuti demonstrasi pemuliharaan dokumen oleh pihak Arkib.
Pameran yang dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu turut bertujuan memperluas penghayatan masyarakat terhadap makna Hari Malaysia, menyemarakkan semangat patriotisme serta memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Selain pameran utama di Kuching, Pameran Mini Sambutan Perayaan Hari Malaysia turut dilaksanakan di 10 bahagian di Sarawak iaitu Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Bintulu, Mukah, Betong dan Serian bagi membolehkan masyarakat di luar Kuching turut menghayati sejarah pembentukan negara.
Dalam pada itu, pelbagai pengisian lain turut dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini termasuk Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Hotel Pullman pada 14 September, Majlis Kesyukuran Umat Islam di Masjid Jamek Sarawak pada 15 September serta program wayang pacak yang menampilkan filem bersifat patriotik di Politeknik Kuching.
Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 16 September di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan kehadiran pemimpin dari peringkat Persekutuan, Sarawak dan Sabah serta persembahan artis yang mewakili tiga wilayah Malaysia.
Turut hadir, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said.- EDISI UKAS