Sekolah Daif Skala 6 Dan 7 Di Parlimen Betong Diberi Perhatian
BETONG: Keadaan sekolah daif khususnya bangunan pada Skala 6 dan 7 di kawasan Parlimen Betong diberi perhatian utama menerusi pelan tindakan bersepadu bagi meningkatkan keselamatan serta kemudahan pendidikan di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata, data dan maklumat terkini berkaitan keadaan sekolah amat penting bagi membolehkan keperluan pembangunan serta isu infrastruktur dibawa ke peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong turut penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan sekolah dapat diselaraskan dengan berkesan, khususnya dalam menangani kelewatan atau isu teknikal melibatkan agensi pelaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi perjumpaan bersama PPD Betong berkaitan Analisis Sekolah Daif dan Pelan Tindakan Parlimen Betong di Bilik Mesyuarat PPD Betong, pada Khamis.
Sesi berkenaan turut membincangkan komitmen penggunaan peruntukan dan program di bawah Parlimen, termasuk Projek Mesra Rakyat (PMR), bagi memenuhi keperluan infrastruktur kecil serta projek berimpak tinggi di sekolah.
Dalam pembentangan tersebut, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Abang Johari membentangkan ringkasan data serta penilaian tahap kedaifan bangunan sekolah di Parlimen Betong, termasuk bangunan pada Skala 5 dan 6 yang memerlukan penyelenggaraan serta Skala 7 yang dikategorikan sebagai tidak selamat.
Pembentangan turut mengenal pasti beberapa blok bangunan sekolah dan kuarters kediaman guru yang memerlukan perhatian khusus susulan isu keselamatan fizikal yang kritikal.
Sehubungan itu, pelan tindakan bersepadu disasarkan bagi mengurangkan jumlah bangunan pada Skala 7 secara berperingkat, selain memperkukuh strategi intervensi PPD Betong bagi tempoh 2026 hingga 2027.
Program Transformasi Luar Bandar (RTP) turut dikenal pasti sebagai antara mekanisme pembangunan bagi menyokong pembinaan dan penaiktarafan kemudahan infrastruktur asas serta utiliti komuniti, termasuk di sekolah.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Anis Madeli.- EDISI UKAS