UNIFOR Kenal Pasti Keperluan Rumah Ibadat, Pastikan Bantuan Tepat Sasaran
MUKAH: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) memperkukuh pendekatan turun padang bagi mengenal pasti keperluan sebenar rumah ibadat pelbagai agama di Mukah, sekali gus memastikan bentuk bantuan yang dipohon selaras dengan keperluan serta syarat ditetapkan.
Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau bersama pasukan UNIFOR mengadakan lawatan ke beberapa rumah ibadat di sekitar Mukah pada Rabu bagi meninjau keadaan semasa fasiliti serta mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak pengurusan.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada UNIFOR meneliti keperluan pembangunan dan kemudahan setiap rumah ibadat, selain mengadakan sesi ramah mesra bersama pihak pengurusan.
Dalam kunjungan itu, pihak UNIFOR turut memberikan penerangan mengenai bentuk bantuan yang boleh dipohon berdasarkan keperluan rumah ibadat serta syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Pendekatan berkenaan membolehkan keperluan di peringkat akar umbi dikenal pasti dengan lebih jelas, di samping memperkukuh hubungan kerja antara UNIFOR dan pihak pengurusan rumah ibadat.
Antara rumah ibadat yang dikunjungi ialah Tai Shan Ting Tua Pek Kong Mukah, New Building Buddhist Temple Mukah, Gereja Methodist Mukah serta Gereja St. Peter & Paul Mukah.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan UNIFOR dalam memberi perhatian terhadap keperluan rumah ibadat pelbagai agama, termasuk dari aspek fasiliti dan pembangunan.
Kerjasama rapat dengan pihak pengurusan rumah ibadat turut penting bagi memastikan kemudahan yang disokong dapat memenuhi keperluan masyarakat serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Mukah, Nolin Gendang; Kapitan Kang Boon Eong serta wakil pengurusan setiap rumah ibadat.—EDISI UKAS