Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Sibu Ketengah Pengisian Kenegaraan
SIBU: Pameran Mini Hari Malaysia 2026 di Sibu yang berlangsung selama seminggu mulai hari ini menyediakan pelbagai pengisian kenegaraan bagi memberi peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, menghayati sejarah pembentukan Malaysia.
Pameran anjuran bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sibu dan Jabatan Penerangan Daerah Sibu itu berlangsung dari 10 hingga 16 September, dari 9.30 pagi hingga 5 petang di perkarangan Pasaraya Bisonte.
Antara pengisian disediakan ialah pameran sejarah pembentukan Malaysia, Kuiz Kenegaraan, Kahoot Kenegaraan, edaran risalah serta sesi ‘Poket Talk’.
Pameran itu merupakan sebahagian daripada pengisian sempena sambutan Hari Malaysia 2026 yang menjadikan Sarawak sebagai tuan rumah tahun ini dan dilaksanakan di semua bahagian di negeri ini.
Simbolik perasmian Pameran Mini Hari Malaysia 2026 di Sibu dijadualkan disempurnakan Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman pada 14 September, jam 10.30 pagi.
Pameran peringkat jawatankuasa induk pula berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Orang ramai digalakkan mengunjungi pameran berkenaan bagi menambah pengetahuan mengenai sejarah pembentukan Malaysia serta menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.- EDISI UKAS