Premier Sarawak Hadiri Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat MTPMA63
KOTA KINABALU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini pada Khamis.
Majlis yang berlangsung di The Magellan Sutera Resort itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Dalam majlis berkenaan, Datuk Seri Panglima Hajiji turut menyampaikan ucapan kepada para tetamu sebelum acara makan malam diteruskan.
Majlis makan malam berkenaan diadakan menjelang Mesyuarat MTPMA63 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada Jumaat dan akan dipengerusikan Perdana Menteri.
Mesyuarat berkenaan merupakan antara platform utama bagi membincangkan dan menyelaras perkara berkaitan pelaksanaan MA63 antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah, khususnya perkara melibatkan hak serta kepentingan Sarawak dan Sabah di bawah perjanjian tersebut.
Kehadiran kepimpinan Sarawak dalam mesyuarat berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam memastikan perkara berkaitan MA63 terus diberi perhatian dan diselesaikan menerusi rundingan bersama Kerajaan Persekutuan dan Sabah.-EDISI UKAS