SJKC Chung Hua Tudan Dapat Kelulusan Tanah 1.01 Hektar Untuk Pembinaan Tadika
MIRI: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tudan telah mendapat kelulusan tanah seluas 1.01 hektar bagi cadangan pembinaan sebuah tadika untuk memenuhi keperluan pendidikan awal kanak-kanak di kawasan berkenaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Chung Hua Tudan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, cadangan tersebut dikemukakan susulan permintaan ibu bapa memandangkan sekolah berkenaan belum mempunyai kemudahan pendidikan awal kanak-kanak sendiri.
“Buat masa ini, kita telah mendapat kelulusan tanah seluas 1.01 hektar, manakala reka bentuk masih di peringkat konsep. Selepas reka bentuk konsep dan perancangan berkaitan disiapkan, barulah kita dapat bergerak ke peringkat seterusnya,” katanya ketika meninjau SJKC Chung Hua Tudan, pada Rabu.
Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, sekolah yang ditubuhkan kira-kira 20 tahun lalu itu kini mempunyai 39 kelas dengan 1,207 murid serta disokong 73 guru dan kakitangan pentadbiran.
Menurutnya, perkembangan sekolah berkenaan mencerminkan peningkatan permintaan terhadap pendidikan susulan pertumbuhan penduduk di kawasan Tudan.
Beliau berkata, SJKC Chung Hua Tudan turut menjadi institusi pendidikan yang menghimpunkan murid daripada pelbagai latar belakang kaum.
“Sekolah ini bukan sahaja menyediakan pendidikan akademik, tetapi turut menjadi tempat murid daripada pelbagai kaum belajar, berinteraksi dan mengambil bahagian dalam aktiviti bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee berkata, pihak sekolah turut memberi penekanan terhadap pembangunan murid secara menyeluruh merangkumi akademik, pembentukan sahsiah, sukan, kokurikulum dan pendidikan digital.
Menurutnya, penggunaan teknologi dalam pembelajaran turut diperkasa menerusi penyediaan bilik darjah digital bagi membantu murid menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).- EDISI UKAS