SHInE Perkukuh Komitmen Sarawak Tangani Cabaran Global
KUCHING: Sarawak komited memperkukuh kerjasama dalam bidang Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan menerusi Sarawak Science, Health, Innovation And Engineering (SHInE) International Conference 2026 bagi menangani cabaran global yang semakin kompleks.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cabaran seperti kemunculan penyakit baharu, perubahan iklim, sekuriti makanan, gangguan teknologi dan ketidaktentuan ekonomi memerlukan kerjasama lebih kukuh, idea berani serta penyelesaian inovatif.
"SHInE mencerminkan komitmen Sarawak untuk menghimpunkan Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan bagi menangani cabaran-cabaran ini, di samping memperkukuh daya tahan ekonomi, penjagaan kesihatan, kelestarian serta kualiti hidup rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian SHInE International Conference 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, bidang-bidang berkenaan menjadi teras kepada aspirasi Sarawak untuk mewujudkan ekonomi yang lebih pelbagai, berdaya tahan dan berdaya saing.
Katanya, Sarawak meneruskan peralihan daripada ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi bernilai lebih tinggi dan berteraskan pengetahuan berteraskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak menambah, inovasi berkembang melalui kerjasama yang kukuh, dengan setiap pihak memainkan peranan penting dalam mengubah idea kepada penyelesaian praktikal.
Jelasnya, hubungan lebih erat perlu diwujudkan antara pihak yang menjana pengetahuan, membangunkan teknologi, mengkomersialkan hasil penyelidikan serta membawanya ke pasaran yang lebih luas.
“SHInE berfungsi sebagai platform penting untuk menghubungkan sektor-sektor ini, menggalakkan kerjasama bermakna serta mempercepatkan proses menterjemahkan hasil penyelidikan kepada inovasi dan kejayaan komersial,” katanya -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie