Transformasi Digital Perlu Perkasa Perkhidmatan Awam Berpusatkan Rakyat
KUCHING: Transformasi digital kerajaan perlu diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih lancar, mudah diakses, inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata matlamat itu memerlukan gabungan inovasi, teknologi dan kerjasama manusia, selain tidak hanya bergantung kepada penggunaan teknologi.
“Teknologi menjadi enjin, tetapi pecutan sebenar hanya berlaku apabila inovasi, teknologi dan kerjasama manusia bergerak seiring,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis inaugural Digital Government Exchange 2026 (DGX26) di Hotel voco Kuching, pada Khamis.
Menurut Datuk Wilson, transformasi kerajaan digital juga perlu melangkaui usaha mendigitalkan proses sedia ada dengan menilai semula kaedah penyampaian perkhidmatan agar lebih intuitif dan berkesan kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan ekosistem digital kerajaan perlu turut disokong infrastruktur yang kukuh dan selamat, termasuk pusat data, rangkaian 5G dan keupayaan awan, selain aspek keselamatan perkhidmatan, perlindungan data, identiti digital, pertukaran data, ketelusan dan akauntabiliti.
Dalam memperkukuh keupayaan tenaga kerja, Datuk Wilson berkata, kira-kira 445,000 penjawat awam disasarkan menerima latihan menerusi Nationwide AI Network 2.0, meliputi penggunaan AI generatif, produktiviti, aplikasi dan automasi aliran kerja.
Katanya, penggunaan teknologi dan AI berpotensi mengurangkan masa tugasan manual, sekali gus membolehkan penjawat awam memberi lebih tumpuan kepada interaksi dengan rakyat, penyelesaian kes kompleks dan penyampaian perkhidmatan.
Beliau turut menekankan pendekatan ‘Whole-of-Government’ yang perlu diperkasa bagi membolehkan kerajaan beroperasi sebagai satu ekosistem melalui perkongsian data antara agensi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sistem berasingan.
Sementara itu, Pengerusi Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata perubahan jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan kerajaan kini menuntut penyampaian yang bukan sahaja pantas, malah lebih lancar, mudah diakses, inklusif dan responsif.
Beliau berkata DGX26 diwujudkan sebagai platform untuk menghimpunkan inovator sektor awam, pemimpin teknologi, penyedia teknologi dan penjawat awam bagi berkongsi pengalaman serta meneroka pendekatan baharu dalam memodenkan operasi kerajaan.
Menurutnya, perkembangan teknologi yang pesat menjadikan perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara pemimpin digital, sektor awam serta generasi lebih muda semakin penting dalam membentuk keupayaan menghadapi perubahan masa depan.
DGX26 yang julung kali dianjurkan SAINS membawa tema “Accelerating Public Services Through Innovation, Technology and Human Collaboration”, dengan fokus kepada AI dan tadbir urus berasaskan data, pendekatan Whole-of-Government, kerjasama serantau serta keterhubungan luar bandar dan perkhidmatan digital inklusif.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Malaysia, Datuk Fabian Bigar, serta Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman.-EDISI UKAS