MIRI: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRC) Cawangan Miri menyasarkan penyertaan 800 peserta bagi ‘Dash for Humanity 2027’ yang akan berlangsung di Miri City Hall, Miri pada 27 Januari 2027.
Bertemakan “Running Together, Moving Forward, For Humanity”, acara berkenaan bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menyokong misi kemanusiaan MRC, selain meningkatkan kesedaran mengenai kesiapsiagaan bencana, pertolongan cemas, kesihatan dan keselamatan awam.
‘Dash for Humanity 2027’ menawarkan Larian Santai 5 kilometer pada kadar RM70 dan Larian 10 kilometer pada kadar RM120, dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM70,000.
Pendaftaran bagi acara berkenaan akan ditutup pada 2 November 2026.
Selain acara larian, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk Cabaran 60 Saat oleh Miri Hash House Harriers, MRC Charity Zumba, persembahan kanak-kanak istimewa daripada MRC Sunflower Centre serta sesi kesedaran Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan Automated External Defibrillator (AED).
MRC Miri turut memperkenalkan Dash Discovery Pass dan Team Captain Challenge bagi menggalakkan peserta meneroka reruai aktiviti serta membentuk pasukan, dengan pengiktirafan Top Team Captain ditawarkan kepada pasukan yang merekrut jumlah pelari berdaftar tertinggi.
Syarikat, organisasi dan institusi yang mendaftarkan sekurang-kurangnya 10 peserta pula layak menerima program kesedaran CPR dan AED secara percuma yang dikendalikan jurulatih MRC.
MRC Miri turut mengalu-alukan sokongan sektor korporat, perniagaan, pertubuhan komuniti dan orang ramai menerusi penajaan, sumbangan, sokongan logistik serta penyertaan pasukan atau sukarelawan.-EDISI UKAS