Kerajaan Sarawak Salur RM100,000, Tanggung Yuran Pendidikan Untuk Masa Depan Keluarga Mangsa Nahas FDS
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bantuan tersebut merupakan antara langkah Kerajaan Sarawak bagi membantu keluarga mangsa dalam menghadapi masa depan selepas kehilangan insan tersayang.
Tambahnya, selain bantuan kewangan, Kerajaan Sarawak turut menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak mangsa yang masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.
“Kerajaan Sarawak telah memutuskan kita membantu mangsa keluarganya untuk masa depan dan kita membantu menerusi bantuan kewangan RM100,000 untuk setiap mangsa.
“Dan anak-anak mereka untuk pendidikan mereka akan ditanggung oleh Yayasan Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sarawak Science, Health, Innovation And Engineering (SHInE) International Conference 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Pada Selasa dahulu, nahas helikopter FDS telah mengorbankan lima individu setelah terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.
Mangsa ialah Juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Pegawai Perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry, serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya Jok.
Ketika kejadian, mereka sedang menjalankan tugasan FDS yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie