Pameran Mini Semarak Sambutan Hari Malaysia 2026 Di Serian
SERIAN: Pameran Mini Semarak Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan diadakan di LePapa Hypermarket, Serian bermula hari ini hingga 16 September.
Pameran anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak itu merupakan sebahagian daripada usaha menyemarakkan Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan yang dilaksanakan secara serentak di 10 bahagian di Sarawak.
Bahagian yang terlibat ialah Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Miri, Bintulu dan Limbang.
Pameran tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan Malaysia, selain memupuk semangat perpaduan serta kepentingan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan budaya.
Antara bahan yang dipamerkan termasuk dokumentasi dan informasi berkaitan sejarah pembentukan Malaysia yang memaparkan peristiwa-peristiwa penting sekitar tahun 1963.
Orang ramai khususnya masyarakat di Serian dialu-alukan mengunjungi pameran tersebut yang berlangsung sehingga 16 September ini bersempena Sambutan Hari Malaysia 2026. -EDISI UKAS