Dua Emas & Tiga Perak, Boccia Sarawak Tunaikan Janji Di Selangor
SELANGOR: Skuad boccia Sarawak meraih dua emas dan tiga perak pada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan menerusi acara individu.
Dua emas menjadi milik Sarawak menerusi Muhd Nur Sharizan Ikhwan Abdullah Saparudin dalam kategori Perseorangan BC1 Lelaki dan Angeline Melissa Lawas dalam kategori Perseorangan BC1 Wanita.
Sementara itu, Willyien Cliff Honseng meraih perak dalam Perseorangan BC1 Lelaki, manakala Jervis Chi Hong Zhe dan Sheirviana Mathew masing-masing membawa pulang perak dalam Perseorangan BC3 Lelaki dan Perseorangan BC3 Wanita.
Jurulatih boccia Sarawak, Honseng Andrias Nyawin berkata, pencapaian tersebut cukup bermakna memandangkan skuadnya berdepan perubahan program selepas acara berpasukan dan bergu digugurkan oleh pihak tuan rumah.
“Memang sasaran kita sebenarnya lebih daripada itu. Tetapi memandangkan acara berpasukan dan bergu terpaksa digugurkan oleh pihak tuan rumah, apa boleh buat, kita capai sasaran kita menerusi acara individu,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas majlis penyampaian pingat, di sini, pada Khamis.
Di sebalik kilauan pingat, kejayaan tersebut turut mencerminkan disiplin skuad boccia Sarawak dalam mengurus persiapan sebelum turun ke gelanggang, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca dan jerebu yang melanda Selangor.
Menurut Honseng, penyesuaian dengan lokasi pertandingan menjadi antara perkara penting sebaik pasukan tiba di Semenanjung, sebelum tumpuan diberikan kepada aspek kesihatan dan prestasi atlet.
“Dari segi persiapan sebelum kita datang bertanding, memang kita datang untuk penyesuaian tempat. Kita lihat dari segi cuaca yang berbeza antara Sarawak dengan Semenanjung yang sekarang ini diselubungi jerebu.
“Jadi kita jaga atlet kita dan kekalkan mereka berada di dalam hotel untuk mengurangkan pendedahan kepada cuaca di luar,” katanya lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi