Kem Boccia Sarawak Intai Peluang Ke Pentas Para Asian
SELANGOR: Perjalanan atlet boccia Sarawak belum berakhir setakat temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 sebaliknya menjadi permulaan kepada persiapan baharu untuk memburu peluang lebih besar di pentas antarabangsa.
Jurulatih boccia Sarawak, Honseng Andrias Nyawin ketika ditemui media selepas majlis penyampaian pingat pada Khamis berkata, barisan atlet akan kembali ke pusat latihan masing-masing selepas temasya bagi meneruskan persiapan menghadapi kejohanan sirkit tahun depan serta peluang untuk disenaraikan dalam skuad negara ke Para Asian.
Menurut beliau, latihan akan diteruskan mengikut lokasi masing-masing memandangkan atlet Sarawak datang dari beberapa bahagian termasuk Kuching, Sibu, Miri dan Mukah.
“Selepas Para SUKMA, kita akan balik ke Sarawak. Selepas itu kita akan sambung balik dengan latihan di tempat masing-masing untuk persiapan tahun depan bagi sirkit dengan Para Asian,” katanya.
Lebih menarik, pencapaian di Selangor turut membuka kemungkinan beberapa atlet Sarawak diberi peluang melangkah ke pentas antarabangsa sekiranya terpilih melengkapkan senarai wakil negara.
Honseng berkata perancangan ketika ini membuka ruang kepada dua atlet bagi setiap kategori untuk dipertimbangkan mewakili Malaysia pada Para Asia.
“Kalau dalam perancangan mereka, kita kemungkinan akan dipanggil untuk melengkapkan senarai dua orang bagi setiap kategori untuk mewakili negara masa Para Asian nanti,” katanya lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi