Sarawak Bangunkan Pelan Hala Tuju Ekonomi Bio & Bioteknologi 2026–2035
KUCHING: Sarawak kini membangunkan satu Pelan Hala Tuju Ekonomi Bio dan Bioteknologi Sarawak 2026–2035 bagi memperkukuh sektor berasaskan penyelidikan, inovasi dan pengetahuan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan pelan berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara Sarawak Research and Development Council (SRDC) dan BioVerde Technologies Sdn. Bhd.
"Inisiatif ini menyokong mandat SRDC untuk memperkukuh penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan, di samping memajukan peralihan Sarawak ke arah ekonomi bio yang mampan, dipacu inovasi dan berasaskan pengetahuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sarawak Science, Health, Innovation And Engineering (SHInE) International Conference 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, rundingan dengan pihak berkepentingan, kajian saintifik dan penglibatan industri membolehkan pelan ini mengenal pasti peluang dalam penyelidikan, inovasi, pelaburan dan pengkomersialan.
Jelasnya, ini sekali gus meletakkan Sarawak sebagai hab ekonomi bio dan bioteknologi terkemuka di rantau ini.
Premier Sarawak memberitahu, inisiatif berkenaan turut menjadi komponen penting dalam Koridor Inovasi SRDC yang menghubungkan penyelidikan, inovasi, bakat, industri dan pelaburan dalam satu ekosistem bersepadu.
Katanya, ekosistem tersebut penting bagi mentransformasikan idea kepada perusahaan dan seterusnya menghasilkan nilai ekonomi jangka panjang. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie