Sarawak Mahu Terokai Potensi Biodiversiti Untuk Perubatan Regeneratif
KUCHING: Sarawak mahu meneroka potensi biodiversitinya sebagai sumber penyelidikan dalam bidang perubatan regeneratif, khususnya bagi mencari pendekatan baharu dalam menangani penyakit seperti kanser.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan teknologi dalam bidang sel regeneratif membuka ruang kepada pakar perubatan dan saintis untuk menjalankan penyelidikan baharu berasaskan sumber biodiversiti negeri.
"Saya ingin pakar-pakar menjalankan kajian dalam cabang sains perubatan ini, iaitu sel regeneratif, dan saya berharap kita dapat mencari penyelesaian kepada penyakit-penyakit baharu yang muncul khususnya kanser.
"Saya juga ada membaca sesuatu mengenai perkara ini, di mana bahan mentah bio boleh dibangunkan sebagai platform untuk sel regeneratif.
"Jika ia dapat ditemui dalam biodiversiti kita, terdapat potensi untuk kita mencari penyelesaian kepada penyakit kanser," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sarawak Science, Health, Innovation And Engineering (SHInE) International Conference 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Sementara itu ketika ditemui pemberita, Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, perubatan regeneratif merupakan satu bidang baharu yang berpotensi membolehkan sel manusia dijana semula menerusi teknologi dan penyelidikan perubatan.
Katanya, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber biodiversiti yang kaya sekali gus menyediakan bahan semula jadi yang boleh diterokai untuk tujuan penyelidikan.
Menurut beliau, Sarawak sendiri mempunyai 62 peratus daripada keluasan daratan 124,000 kilometer persegi yang masih diliputi hutan.
"Dengan usaha kita untuk mempertingkatkan pembangunan bakat, kita dapat bekerjasama dengan saintis antarabangsa untuk mencari kaedah dan cara menjalankan penyelidikan mengenai perubatan regeneratif.
"Ini sesuatu yang baharu dan saya fikir kita boleh memainkan peranan," ujarnya.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengurus Besar Sarawak Research and Development Council (SRDC) Ts Dr Peter Marin Nissom dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Infectious Disease Centre (SIDC) Dr Ivan K.S Yap. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie