Gloria Tunaikan Misi Emas Kem Para Ping Pong Sarawak
SELANGOR: Gloria Gracia Wong Sze tampil sebagai penyelamat misi emas kem para ping pong Sarawak apabila berjaya menunaikan sasaran satu pingat emas pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026.
Gloria menghadiahkan emas kepada Sarawak menerusi acara perseorangan wanita Kelas 9-10 pada saingan 8 September lalu, sekali gus memastikan sasaran utama kem para ping pong Sarawak berjaya direalisasikan di pentas temasya kali ini.
Kejayaan itu turut dilengkapkan dengan tiga pingat gangsa menerusi Bivyana Ujai dalam perseorangan wanita Kelas 11, Stanley Ling dalam perseorangan lelaki Kelas 11 serta gandingan Bivyana dan Stanley dalam acara beregu campuran.
Pingat kepada para pemenang turut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, sebagai penghargaan terhadap pencapaian atlet Sarawak sepanjang saingan Para SUKMA XXII.
Dalam aksi beregu campuran pada Khamis pula, Bivyana dan Stanley menambah satu lagi gangsa selepas menamatkan saingan menentang pasangan Perlis, sekali gus melengkapkan kutipan empat pingat kem para ping pong Sarawak. -EDISI UKAS