Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Perkukuh Kefahaman Masyarakat
BETONG: Pameran Mini Hari Malaysia 2026 menjadi platform memperkukuh kefahaman masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, pendedahan secara langsung melalui bahan sejarah yang dipamerkan penting bagi membantu golongan muda memahami latar belakang pembentukan Malaysia serta menghargai kepelbagaian budaya dan masyarakat negara.
Menurut beliau, pemahaman terhadap sejarah pembentukan Malaysia perlu terus diperkasa supaya generasi muda dapat menghayati asas pembentukan negara serta memainkan peranan mengekalkan keharmonian dan perpaduan.
“Dalam kita memperingati Hari Malaysia, kita juga perlu memastikan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 terus dipelihara dan dipertahankan demi memastikan semangat kejayaan pembentukan Malaysia terus dipertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Peringkat Bahagian Betong, di Politeknik METrO Betong, pada Khamis.
Dato Dr Richard berkata, pameran berkenaan memberi peluang kepada masyarakat setempat, khususnya pelajar, mendapatkan maklumat berkaitan sejarah dan pembentukan Malaysia dalam suasana yang lebih dekat serta mudah difahami.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak sekolah dan institusi pendidikan menggalakkan pelajar mengunjungi pameran tersebut bagi memperluas pengetahuan mereka mengenai sejarah pembentukan Malaysia.
Pameran yang berlangsung dari 10 hingga 16 September, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, turut menyediakan kuiz berhadiah sebagai salah satu pendekatan menarik minat pengunjung untuk mendalami kandungan pameran.
Pameran Mini Hari Malaysia 2026 dianjurkan secara serentak di seluruh Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia.
Di Betong, pameran tersebut dianjurkan Pejabat Penerangan Bahagian Betong dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Betong.
Terdahulu, Dato Dr Richard Rapu turut melawat galeri statik Pameran Mini Hari Malaysia 2026 dan menerima taklimat daripada Pegawai Penerangan Daerah Betong, Donny Minggu Ling.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Betong, Muhammad Nizam Wang, Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Anis Madeli, Pengurus CENTEXS Cawangan Betong, Dr Andrew Emperan, Pegawai UKAS Bahagian Betong, Tony Malang Chabu, serta Ketua Jabatan Sokongan Akademik, Politeknik METrO Betong, Winne Chengai.—EDISI UKAS