Penghayatan Patriotisme Perlu Diterjemah Melalui Penglibatan Aktif Masyarakat
KAPIT: Penghayatan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 perlu diterjemahkan melalui penglibatan aktif masyarakat, termasuk menyemarakkan pengibaran Jalur Gemilang di kediaman, sekolah dan premis masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang Adat dan Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, pengibaran Jalur Gemilang bukan sekadar simbol sambutan, malah mencerminkan semangat kemerdekaan, kecintaan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
“Pengibaran Jalur Gemilang melambangkan jiwa yang merdeka serta menjadi tanda kecintaan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA)@Komuniti sempena HKHM 2026, di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Yong, di sini, pada Khamis.
Sehubungan itu, Datuk Jefferson menyeru masyarakat menyokong inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R 1JG) dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, selain sekolah, pejabat, premis perniagaan dan lokasi yang bersesuaian.
Menurut beliau, semangat menyambut HKHM juga perlu disertai kefahaman terhadap nilai kemerdekaan, keamanan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan masyarakat Sarawak.
Katanya, tema HKHM 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, mencerminkan iltizam kerajaan memastikan kemajuan, kemakmuran dan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil, saksama serta inklusif oleh seluruh rakyat.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus mempertahankan keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati serta menghargai kepelbagaian masyarakat sebagai asas perpaduan.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kapit, Michael Sabek berkata, penglibatan Jabatan Penerangan bersama komuniti setempat penting dalam memastikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan agenda kerajaan dapat disampaikan secara terus serta bersasar.
Beliau turut mengetengahkan kepentingan keselamatan digital, termasuk Online Safety Act 2025 (ONSA) dan inisiatif “Tunggu 16”, dalam usaha meningkatkan perlindungan kanak-kanak dan pengguna daripada risiko kandungan dalam talian yang berbahaya.
Pada program sama, SK Ulu Yong menerima cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 bagi memenuhi keperluan sekolah, selain peruntukan berasingan untuk pembelian pam air bagi kegunaan sekolah.
Program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Kapit itu melibatkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada warga sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat, selain pengisian aktiviti kenegaraan serta pengibaran Jalur Gemilang.—EDISI UKAS