Kem Para Tenpin Boling Sarawak Pintas Sasaran Dengan Enam Emas
SELANGOR: Sasaran lima pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya berjaya dipintas apabila kem para tenpin boling Sarawak menutup saingan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan kutipan enam emas di Sunway Megalanes.
Pencapaian itu bukan sahaja melebihi sasaran awal, malah memperlihatkan kekuatan skuad Bumi Kenyalang yang mampu mendapatkan sumbangan pingat daripada kelompok atlet utama serta beberapa atlet yang tampil di luar jangkaan sepanjang saingan.
Antara yang mencuri perhatian ialah Rosserrine Issawell Manong Raymond dalam kategori TPB10 Perseorangan Wanita, Mohamad Yakup Winei (TPB3 Perseorangan Lelaki), serta pasangan atlet TPB8, Farthin Zafirah Zaidi dan Nurfariesyah Adriana Fairul, yang masing-masing berjaya menghadirkan pingat buat Sarawak.
Ketua Jurulatih Pasukan Tenpin Boling Para Sarawak, Myron Khoo Hock Ming, menyifatkan pencapaian enam emas itu sebagai satu keputusan yang membanggakan selepas skuadnya berjaya melangkaui sasaran yang ditetapkan sebelum temasya.
“Kita sasar lima pingat emas, dan akhirnya kita berjaya capai enam pingat emas.
“Kita juga tidak sangka tiga atlet seperti Rosserrine (TPB10), Mohamad Yakup (TPB3), dan Farthin Zafirah serta Nurfariesyah Adriana turut dapat menyumbang pingat buat pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sejurus majlis penyampaian pingat, di sini pada Khamis.
Menurut Myron, pencapaian tersebut turut membuka ruang untuk Sarawak melangkah lebih jauh dalam pembangunan atlet para tenpin boling, termasuk usaha mengetengahkan bakat negeri ke peringkat antarabangsa dan skuad kebangsaan.
“Untuk perancangan seterusnya, kemungkinan kita akan menghadapi World Para dan tumpuan paling penting sekarang adalah untuk menyerap beberapa atlet Sarawak ke dalam skuad kebangsaan Malaysia,” ujarnya. -EDISI UKAS