Friendly HOW Perkukuh Kerjasama Rumah Ibadat, Bina Persefahaman Komuniti
MUKAH: Program ‘Friendly Houses of Worship’ (Friendly HOW) anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus menjadi platform memperkukuh hubungan, persefahaman dan kerjasama antara komuniti pelbagai agama di Bahagian Mukah.
Program yang berlangsung di Kingwood Resort Mukah, hari ini menghimpunkan pemimpin agama, wakil rumah ibadat dan pemimpin masyarakat dari Mukah, Balingian serta kawasan sekitarnya bagi memperkukuh hubungan antara komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, perpaduan perlu diterjemahkan melalui amalan kehidupan seharian dengan masyarakat saling menghormati dan bekerjasama tanpa menjadikan perbezaan agama, budaya dan adat sebagai penghalang.
“Berbeza bukan penghalang untuk kita bersatu. Bersama, kita lebih kuat,” katanya ketika berucap pada program tersebut di Kingwood Resort Mukah, pada Rabu.
Menurut Abdul Yakub, perpaduan tidak seharusnya sekadar dibicarakan, sebaliknya perlu diamalkan secara berterusan bagi memastikan hubungan antara masyarakat pelbagai agama terus terpelihara.
Sementara itu, ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, Friendly HOW penting dalam mempererat hubungan dan kerjasama antara rumah ibadat serta masyarakat berbilang agama.
Menurut beliau, inisiatif sedemikian perlu terus diperkasa bagi memupuk persefahaman, sikap saling menghormati dan hubungan persahabatan dalam kalangan komuniti.
Katanya, hubungan erat antara masyarakat pelbagai agama dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih harmoni dan bersatu padu.
Program Friendly HOW turut mencerminkan peranan UNIFOR sebagai penghubung antara kerajaan dengan komuniti agama selain Islam, khususnya dalam menggalakkan persefahaman, toleransi dan keharmonian antara agama di Sarawak.
Turut hadir, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau dan Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip.—EDISI UKAS