i-COME’26 Platform Satukan Pelbagai Latar Belakang Komunikasi
KUCHING: Persidangan Antarabangsa Komunikasi dan Media Ke-10 (i-COME’26) menjadi platform penting yang menghimpunkan pelbagai pihak untuk berkongsi ilmu, pandangan dan pengalaman dalam bidang komunikasi.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, persidangan berkenaan membolehkan ahli akademik, pengamal industri, pegawai kerajaan, pengamal media serta penyelidik daripada pelbagai latar belakang bertukar perspektif dan pandangan.
"Persidangan seperti iCOME adalah penting kerana ia mewujudkan sesuatu yang tidak semestinya dapat dicapai melalui kaedah komunikasi yang lain.
"Ia menghimpunkan orang ramai sekali gus membolehkan seorang ahli akademik duduk bersama pengamal industri, pegawai kerajaan bertukar pandangan dengan pakar strategi media, dan seorang pakar strategi yang berpengalaman mendengar kebimbangan daripada penyelidik yang baru menceburi bidang ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian i-COME'26 di Muzium Budaya Borneo pada Jumaat.
Sehubungan itu, Datuk Abdullah menyifatkan tema i-COME’26, 'Navigating Global Communication through Digital Competence for a Sustainable Future' sebagai tepat pada masanya dan amat diperlukan.
Sebanyak 73 kertas kerja telah dibentangkan yang berlangsung pada 11 dan 12 September ini di dengan 48 kertas kerja memberi fokus kepada komunikasi digital dan kecerdasan buatan.
Seramai 100 peserta daripada pelbagai latar belakang akademik dan industri serta peserta antarabangsa dari pelbagai negara antaranya Pakistan, Indonesia, China dan Jepun yang hadir di persidangan anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM).
Hadir sama, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Naib Canselor UUM Professor Dr Ahmad Martadha Mohamed dan Timbalan Naib Canselor UUM Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani. -EDISI UKAS