Media Berperanan Sebagai Penjaga Keharmonian Masyarakat
KUCHING: Media perlu memainkan peranan sebagai penjaga keharmonian masyarakat dengan memastikan perkembangan komunikasi digital digunakan untuk memupuk persefahaman antara budaya dan bukannya memperbesar perpecahan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, kompetensi digital dalam kalangan pengamal media perlu diterjemahkan melalui amalan kewartawanan beretika yang mengutamakan kebenaran awam dan keharmonian masyarakat.
Menurutnya, pengamal media perlu beralih daripada kebergantungan kepada algoritma 'clickbait' yang boleh meraih keuntungan daripada keresahan dan perpecahan kolektif.
"Kelestarian pula bermaksud melihat kebenaran awam dan keharmonian masyarakat sebagai sumber semula jadi yang terhad dan berharga, yang mesti dipertahankan melalui kewartawanan beretika," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Komunikasi dan Media Ke-10 (i-COME'26) di Muzium Budaya Borneo pada Jumaat.
Tambahnya, cabaran global dan kemajuan tempatan memerlukan fokus nasional yang bersatu, manakala kompetensi digital perlu dimanfaatkan bagi menggalakkan persefahaman antara budaya.
Ujarnya, masyarakat menuntut ketelusan, manakala kerajaan memerlukan kestabilan, justeru kerjasama antara sarjana, pengawal selia, kerajaan dan pengamal media amat penting dalam memahami sistem komunikasi yang semakin kompleks.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah menyifatkan kepelbagaian budaya di Sarawak dan Malaysia sebagai antara cabaran yang perlu ditangani secara berhati-hati, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan sensitiviti masyarakat.
"Jadi, UKAS, RTM dan semua pengamal media serta mereka yang terlibat dalam perhubungan awam, kita memainkan peranan tersebut.
"Apabila kita bercakap tentang kelestarian dalam pelbagai aspek kehidupan kita, perkara ini juga perlu diberikan perhatian," tegas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini