MUKAH: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Mukah ditetapkan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 selepas mengalami penangguhan sebelum ini.
Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli berkata, persiapan program kini giat dilaksanakan melibatkan 18 agensi, dengan setiap agensi membentangkan gerak kerja dan persiapan masing-masing bagi memastikan kelancaran program.
Bagaimanapun, ujarnya, pelaksanaan aktiviti luar tertakluk kepada keadaan cuaca dan sebarang perubahan akan dimaklumkan sekiranya keadaan tidak mengizinkan.
“Sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, mungkin terdapat beberapa perubahan terhadap aktiviti yang telah dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Program Sarawakku Sayang 2026 Peringkat Bahagian Mukah Bil. 4/2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah), pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau berharap segala urusan berkaitan penganjuran SKS 2026 dipermudahkan agar program dapat dilaksanakan dengan lancar.
Sebelum ini, SKS 2026 Peringkat Bahagian Mukah dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos lalu, namun ditangguhkan berikutan keadaan jerebu di kawasan berkenaan. - EDISI UKAS