Tonjol Semangat Patriotisme Melalui Kibaran Jalur Gemilang
PANTU: Penduduk Daerah Sri Aman diseru agar terus menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan diri masing-masing sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Safariza Bujang berkata, semangat tersebut boleh dizahirkan menerusi usaha mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, sekolah, kampung, rumah panjang serta kenderaan masing-masing.
“Jalur Gemilang bukan sekadar lambang negara malah merupakan simbol kedaulatan, perpaduan dan semangat cintakan tanah air yang perlu dihormati serta dimartabatkan sepanjang masa.
“Oleh itu, penduduk Sarawak harus mempertahankan keharmonian, perpaduan dan kemakmuran yang telah dicapai dengan mengamalkan sikap saling menghormati tanpa mengira kaum dan latar belakang agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jiwa @ Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Daerah Sri Aman di Rumah Rayong, Kampung Pantu pada Khamis.
Menurutnya, program seumpama itu menjadi platform bagi memperkukuh hubungan dan interaksi antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat, selain menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan program kerajaan secara lebih dekat kepada masyarakat luar bandar.
Safariza turut menyentuh perkembangan terkini mengenai inisiatif Kerajaan Sarawak seperti dan Kerajaan Persekutuan dalam aspek pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Ujarnya, Kerajaan Persekutuan misalnya ada menyalurkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah dan BUDI Madani, manakala Kerajaan Sarawak pula menyediakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak serta pelbagai bantuan lain.
“Bagaimanapun, penting buat penduduk untuk sentiasa mendapatkan maklumat mengenai bantuan dan kemudahan kerajaan terkini melalui saluran serta laman sesawang rasmi agensi kerajaan bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat dan sahih,” katanya.
Program yang dihadiri kira-kira 60 orang itu turut diserikan dengan paparan Jiwa @ Komuniti – Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, pameran serta hiasan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.
Turut diadakan upacara penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada Tuai Rumah Rayong Chama serta lawatan ke mini pameran Program Jiwa @ Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026. -EDISI UKAS