Jentera Pentadbiran Cekap Pastikan Manfaat Kerajaan Sampai Kepada Rakyat
PADAWAN: Kecekapan jentera pentadbiran di semua peringkat menjadi antara faktor penting bagi memastikan pelbagai dasar, kemudahan dan inisiatif Kerajaan Sarawak dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat kepada golongan sasaran.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, masyarakat juga perlu mengambil peluang dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan serta bantuan yang disediakan kerajaan demi meningkatkan kesejahteraan dan masa depan keluarga.
“Saya menyeru masyarakat supaya tidak mensia-siakan peluang yang disediakan dan menggunakan kemudahan berkenaan sebaik mungkin demi meningkatkan kesejahteraan serta masa depan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pentadbiran Jentera PRN Mambong di Dewan Persatuan Biperoh, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, jentera pentadbiran yang tersusun dan berkesan penting bagi memastikan perancangan serta inisiatif kerajaan dapat diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang benar-benar memberi impak kepada rakyat.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memperjuangkan dan memelihara hak serta kepentingan Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, usaha berkenaan akan terus diberi perhatian bagi memastikan hak Sarawak dipertahankan, manakala kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam pembangunan dan pentadbiran negeri.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, bengkel tersebut menjadi platform penting untuk meningkatkan kefahaman dan kecekapan jentera pentadbiran di peringkat kawasan.
Menurut beliau, penglibatan semua pihak dapat membantu memperkemas gerak kerja serta memastikan setiap perancangan dan program kerajaan disampaikan kepada rakyat secara lebih teratur dan berkesan.
Hadir sama, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin. -EDISI UKAS