Pembangunan Kaong Ulu Diperkasa Dengan Peruntukan RM258,000
LUBOK ANTU: Sejumlah RM258,000 diperuntukkan bagi menyokong pembangunan serta memperkasakan aktiviti kemasyarakatan, wanita dan belia di Kaong Ulu serta Daerah Lubok Antu.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, jumlah itu merangkumi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM200,000 bagi tahun 2027, selain peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kaong Ulu.
Katanya, sebanyak RM8,000 turut diperuntukkan kepada Biro Wanita Kaong Ulu, RM5,000 kepada Kelab Belia Kaong Ulu serta RM15,000 kepada Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lubok Antu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Segulai Sejalai Pemimpin Rakyat di Rumah Jubang Anak Tumpal, Kaong Ulu, SPS Fasa 1 di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan diharap dapat membantu memenuhi keperluan pembangunan setempat, menggerakkan aktiviti kemasyarakatan serta memperkasakan peranan persatuan dan golongan belia.
Dalam pada itu, Roy Angau berkata, Lubok Antu mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, khususnya ekopelancongan yang mampu menjadi antara pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat sekiranya dibangunkan secara terancang.
Pada sesi bersama penduduk, beliau turut memberi penerangan mengenai konsep Kebebasan Maklumat berdasarkan penglibatannya sebagai sebahagian daripada panel berkaitan perkara tersebut.
Beliau turut menjelaskan peranan dan fungsi kelab belia, termasuk saluran yang boleh digunakan untuk mengetengahkan isu serta keperluan golongan belia kepada pihak berkaitan.
Program anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen P.203 Lubok Antu dengan kerjasama JKKK Kaong Ulu itu menjadi platform memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat, selain memberi ruang kepada penduduk menyampaikan secara langsung isu serta keperluan pembangunan setempat.-EDISI UKAS