PMR Naik Taraf Dewan Makan SMK Semop Capai 90 Peratus
SEMOP: Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi menaik taraf Dewan Makan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop, Pulau Bruit kini mencapai 90 peratus siap dan dijangka memberi keselesaan lebih baik kepada pelajar, khususnya penghuni asrama.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, kemajuan projek berkenaan amat memberangsangkan dan kini mendahului jadual asal.
“Dewan makan ini amat diperlukan kerana kemudahan sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah pelajar asrama yang semakin meningkat.
“Dengan siapnya dewan makan baharu ini, para pelajar akan mendapat ruang yang lebih selesa dan sesi makan dapat dijalankan dengan lebih teratur tanpa perlu dilakukan secara bergilir-gilir seperti sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau perkembangan projek menaik taraf Dewan Makan SMK Semop, di sini, pada Sabtu.
Projek bernilai RM300,000 yang dimulakan pada Mac 2026 dan dijadualkan siap pada November ini kini hampir siap sepenuhnya, dengan struktur utama dewan makan telah disiapkan.
Menurut Dato Ir Yusuf, kerja yang masih berbaki hanya melibatkan pemasangan pendawaian elektrik oleh kontraktor yang dilantik.
Beliau dalam pada itu turut berharap agar dewan makan berkenaan dapat dimanfaatkan bukan sahaja sebagai tempat makan, malah bagi pelbagai aktiviti dan program sekolah. -EDISI UKAS