Pembangunan Pujut Diterjemah Menerusi Jalan, Saliran, Lampu LED, Rumah
MIRI: Pelaksanaan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) di kawasan Pujut terus diterjemahkan kepada pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, termasuk naik taraf jalan, sistem perparitan, pencahayaan awam, perumahan dan pendidikan.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, PCDS 2030 bukan sekadar pelan pemulihan pascapandemik COVID-19, sebaliknya strategi jangka panjang untuk memperkukuh ekonomi, daya tahan negeri dan kesejahteraan rakyat menjelang 2030.
Menurutnya, agenda tersebut perlu diterjemahkan kepada perubahan yang boleh dilihat dan dirasai masyarakat menerusi pembangunan infrastruktur, kesalinghubungan, pendidikan, kemahiran, jaminan makanan dan tenaga serta peningkatan kualiti hidup.
“PCDS 2030 bukan sekadar pelan pemulihan selepas pandemik COVID-19, sebaliknya merupakan strategi jangka panjang bagi memperkukuh ekonomi, daya tahan negeri dan kesejahteraan rakyat menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jangkauan Setiausaha Politik: Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Khas untuk DUN Pujut di Auditorium SM Pei Min, pada Sabtu.
Adam berkata, sebanyak 75 batang jalan sepanjang lebih 16 kilometer di kawasan Pujut telah dinaik taraf dengan peruntukan kira-kira RM9.21 juta dari 2022 hingga 2025.
Dalam tempoh sama, sebanyak 97 projek perparitan bernilai kira-kira RM10.14 juta turut dilaksanakan bagi menangani keperluan sistem saliran dan isu banjir, manakala lebih 1,385 lampu jalan LED telah dinaik taraf dan diganti di kawasan berkenaan setakat Jun 2026.
Katanya, pembangunan modal insan turut diberi perhatian menerusi sokongan tahunan kepada 12 sekolah dan institusi pendidikan di kawasan Pujut.
Dalam aspek perumahan pula, lebih 330 rumah telah dibaik pulih menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) sejak 2022, memberi manfaat kepada lebih 1,500 penduduk.
Bagaimanapun, Adam berkata, masih terdapat beberapa isu yang memerlukan perhatian berterusan termasuk sistem perparitan dan banjir, kesesakan lalu lintas, infrastruktur berusia serta keperluan perumahan dan penempatan semula bagi komuniti tertentu. -EDISI UKAS