Setiausaha Politik Jadi Jambatan Maklumat Kerajaan, Pastikan Rakyat Tidak Terlepas Peluang
MIRI: Peranan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak bukan sekadar menyampaikan maklumat mengenai dasar dan pencapaian kerajaan, malah menjadi penghubung penting bagi memastikan bantuan serta peluang yang disediakan dapat diketahui dan dimanfaatkan rakyat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazruddin Abdul Rahman berkata, penyampaian maklumat secara terus kepada masyarakat penting bagi memastikan pelbagai inisiatif kerajaan tidak terhenti pada peringkat dasar, sebaliknya sampai kepada golongan yang memerlukannya.
“Tanggungjawab kita adalah memastikan masyarakat mengetahui kejayaan Kerajaan Sarawak, bantuan yang tersedia dan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Jangkauan Setiausaha Politik: Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Khas untuk DUN Pujut di Auditorium SM Pei Min, pada Sabtu.
Menurut Dato Fazruddin, peningkatan pendapatan Sarawak memberi ruang kepada kerajaan untuk memperluas pelaburan dalam kebajikan rakyat, pendidikan, infrastruktur dan pembangunan ekonomi.
Katanya, usaha memperkukuh syarikat milik Sarawak serta mewujudkan sumber pendapatan berterusan turut penting bagi memastikan negeri mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk membiayai pembangunan dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
Beliau berkata, penyampaian maklumat mengenai agenda pembangunan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi projek infrastruktur berskala besar sehingga kemudahan asas yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian masyarakat.
Dalam memastikan usaha tersebut berkesan, kerjasama antara wakil rakyat, agensi kerajaan, ketua masyarakat dan ketua kaum amat penting bagi mengenal pasti keperluan setempat serta memastikan manfaat pembangunan sampai ke peringkat akar umbi.
Program sehari berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan penerangan secara terus mengenai pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk perancangan telekomunikasi, bekalan air terawat, elektrik dan gas, pendidikan, bantuan kewangan, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), bantuan pembelian perumahan serta projek Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) di kawasan Pujut dan Miri.
Selain sesi taklimat, pameran dan kaunter perkhidmatan turut disediakan bagi membolehkan masyarakat berinteraksi secara langsung dengan agensi berkaitan serta mendapatkan maklumat dan penjelasan mengenai kemudahan yang tersedia. -EDISI UKAS