Jambatan Batang Paloh Dijangka Dibuka Seawal Pertengahan Oktober
SEMOP: Jambatan Batang Paloh bernilai hampir RM300 juta kini memasuki fasa akhir pembinaan dan dijangka dibuka kepada orang ramai seawal pertengahan Oktober ini, sekiranya kerja-kerja akhir berjalan lancar.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, perkembangan projek berkenaan amat menggembirakan memandangkan keseluruhan struktur jambatan kini telah bersambung.
Menurut beliau, kerja-kerja yang masih berbaki melibatkan kemasan di bahagian tepi jambatan, jalan, pemasangan lampu serta beberapa kemudahan berkaitan.
“Sememangnya kita amat teruja melihat perkembangan projek Jambatan Batang Paloh ini kerana rakyat telah menunggu begitu lama untuk kemudahan berkenaan siap.
“Sekiranya semua kerja berjalan lancar, kita menjangkakan jambatan ini boleh dibuka untuk kegunaan orang ramai seawal pertengahan Oktober, namun tarikh sebenar pembukaan masih belum ditentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Smart TV kepada sekolah-sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop, di sini, pada Sabtu.
Jambatan berkenaan bakal menjadi penghubung penting antara Pulau Bruit dengan Tanjong Manis, Sarikei dan Sibu, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk tanpa bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan feri.
Dato Ir Yusuf berkata, kewujudan jambatan itu dijangka memberi impak besar kepada masyarakat termasuk meningkatkan jaringan perhubungan, merancakkan pembangunan setempat serta membuka lebih banyak peluang ekonomi.
“Dengan adanya jambatan ini, perjalanan rakyat akan menjadi lebih lancar dan isu kesesakan, khususnya yang sering berlaku pada musim perayaan, dapat dikurangkan.
“Ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat, malah akan membawa limpahan ekonomi serta membuka ruang kepada pelbagai aktiviti pembangunan di kawasan sekitar,” katanya.
Jambatan berkenaan kini hanya menunggu penyelesaian kerja-kerja akhir serta pengesahan aspek keselamatan sebelum dibuka kepada orang ramai, dengan pembukaan seawal pertengahan Oktober menjadi sasaran sekiranya semuanya berjalan lancar. -EDISI UKAS