Pelajar Luar Bandar Perlu Mendapat Akses Pendidikan Berkualiti
KUCHING: Pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu diberikan akses kepada pendidikan berkualiti serta kemudahan pembelajaran yang setara bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pendidikan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, pembangunan pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada aspek infrastruktur semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada akses, kemahiran digital dan pembangunan modal insan.
“Usaha merapatkan jurang digital perlu dipergiat termasuk melalui penyediaan kemudahan teknologi yang dapat memperkaya pengalaman pembelajaran murid,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, antara inisiatif yang dilaksanakan di kawasan jagaannya ialah pembekalan papan pintar ke sekolah-sekolah bagi membolehkan murid luar bandar mengikuti kaedah pembelajaran yang lebih interaktif.
Ujarnya, penglibatan beliau dalam Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) telah mengarahkan pembinaan ruang teknologi digital di Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Balai Ringin serta pusat robotik dan Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Kebangasaan (SK) Pantu.
Dalam pada itu, Seramai 98 warga pendidik dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, integriti dan dedikasi dalam melaksanakan amanah sepanjang tahun lalu.
Datuk Snowdan memberitahu, penganjuran APC bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, malah menjadi pemangkin kepada warga pendidikan untuk terus meningkatkan profesionalisme, integriti dan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Pengiktirafan seperti ini diharapkan dapat menyuntik semangat kepada warga pendidikan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik demi memastikan agenda pendidikan Sarawak dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin turut merakamkan penghargaan kepada guru yang bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana terus melaksanakan tanggungjawab meskipun berdepan cabaran dari segi geografi dan logistik.
Beliau juga menyarankan pihak sekolah membawa murid melawat TEGAS Digital Hub di Sama Jaya bagi memberikan pendedahan awal mengenai teknologi dan ekonomi digital. -EDISI UKAS