Jurang Digital Bandar-Luar Bandar Perlu Dikurangkan
SEMOP: Jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar perlu terus dikurangkan bagi memastikan kesaksamaan akses pendidikan, khususnya kepada pelajar di kawasan pedalaman dan pulau.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, akses kepada teknologi pendidikan yang setara penting bagi memastikan pelajar luar bandar mendapat kemudahan pembelajaran lebih baik, sekali gus melahirkan modal insan berkualiti.
“Jurang digital antara bandar dan luar bandar harus dikurangkan bagi memastikan kesaksamaan dalam mendapatkan pendidikan.
“Ini penting bagi memastikan pelajar luar bandar mendapatkan keperluan pendidikan yang setaraf dengan pelajar di bandar dan seterusnya mampu melahirkan modal insan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Smart TV kepada sekolah-sekolah di kawasan Pulau Bruit di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop, di sini, pada Sabtu.
Menurut Dato Ir Yusuf, penyerahan Smart TV itu merupakan fasa pertama, manakala baki sumbangan akan diagihkan dalam fasa kedua yang dijangka dilaksanakan pada Oktober depan.
Antara sekolah penerima ialah SMK Semop, Sekolah Kebangsaan (SK) Semop, SK Sebako, SK Mohamad Redeh, SK Saai, SK Kut, SK Penibong, SK Salah Kecil, SK Betanak, SK Penipah, SK Tekajong, SK Bruit serta SK Orang Kaya Muda Pakeri, Paloh.
Beliau berharap kemudahan itu dapat mewujudkan suasana pembelajaran lebih baik, menarik dan interaktif, selain memudahkan penyampaian maklumat serta meningkatkan kefahaman pelajar.
Dato Ir Yusuf turut menyatakan kesediaan meneruskan inisiatif berkenaan sekiranya sumbangan Smart TV memberikan impak positif, termasuk menambah jumlah sumbangan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih banyak sekolah luar bandar dan pulau mendapat manfaat. -EDISI UKAS