Smart TV Tarik Minat Pelajar Dalam Pembelajaran Digital
SEMOP: Penggunaan teknologi digital seperti Smart TV dalam sesi pembelajaran diyakini mampu menarik minat pelajar, selain menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih mudah difahami serta interaktif.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, pendekatan pembelajaran yang menggabungkan kaedah konvensional dengan teknologi digital mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan.
“Teknik serta kaedah baharu seperti pendekatan belajar melalui Smart TV mampu menarik minat para pelajar untuk belajar.
“Alat bantuan mengajar seperti Smart TV menjadikan sesi pembelajaran lebih mudah difahami serta lebih interaktif antara guru dengan pelajar,” katanya ketika Penyerahan Smart TV di Dewan Sri Barong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, di sini pada Sabtu.
Sebanyak 13 buah sekolah di Zon Tanjong Manis menerima sumbangan Smart TV bagi membantu memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran secara digital.
Sekolah berkenaan ialah SMK Belawai, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Gesa, SK Abang Buyuk, SK Jerijih, SK Abang Galau, SK Rajang, SK Tanjong Manis, SK Stalon, SK Batang, SK Telok Gelam, SK Bakerkong, SK Serdeng dan SK Bukit Kinyau.
Dato Ir Yusuf berkata, penggunaan teknologi dalam pembelajaran juga selaras dengan keperluan pendidikan masa kini dan berpotensi menjadi antara pendekatan penting dalam sistem pendidikan pada masa akan datang.
Beliau yakin kaedah tersebut dapat membantu meningkatkan penglibatan pelajar dalam sesi pembelajaran, seterusnya menyokong usaha sekolah melahirkan pelajar yang lebih cemerlang dan berdaya saing. -EDISI UKAS