SIOTBC 2026 Serlah Sarawak Sebagai Lokasi Acara Boling Bertaraf Antarabangsa
KUCHING: Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak (SIOTBC) 2026 menyerlahkan Sarawak sebagai antara lokasi pilihan bagi penganjuran acara boling bertaraf antarabangsa menerusi penyertaan 663 peserta dari dalam dan luar negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, penyertaan daripada pemain tempatan dan antarabangsa membuktikan kejohanan berkenaan berjaya menjadi platform yang menghimpunkan atlet dari pelbagai negara.
"Kita berbangga mengalu-alukan pemain boling dari Singapura, Thailand, Hong Kong, India, Chinese Taipei, Vietnam dan Brunei, bersama-sama pemain Malaysia.
"Inilah yang saya maksudkan apabila saya mengatakan antarabangsa, iaitu membawa orang dari negara yang berbeza untuk bersama-sama bermain tenpin boling.
"Jadi, kepada semua pemain dari Malaysia, anda tahu bahawa jika anda berjaya sampai ke sini, bermakna anda sama baik dengan pemain dari Hong Kong, India, Vietnam, Brunei dan negara-negara lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan SIOTBC 2026 di Megalanes Sarawak, Batu Kawa di sini pada Sabtu.
Datuk Amar Dr Sim menambah, penganjuran kejohanan antarabangsa di Megalanes turut membuktikan kemampuan Sarawak menyediakan venue yang sesuai untuk acara sukan bertaraf antarabangsa.
Katanya, perkara tersebut amat membanggakan kerana Megalanes yang baru berusia sekitar 10 tahun telah berjaya menjadi lokasi kepada pelbagai acara antarabangsa, termasuk Kejohanan Dunia Remaja Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF).
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa itu lagi, kejohanan IBF berkenaan sebelum ini menghimpunkan pemain dari 34 negara, sekali gus memberikan pendedahan kepada atlet muda tempatan untuk bersaing dengan pemain antarabangsa.
Sementara itu, tahun hadapan pula menyaksikan pnganjuran acara tenpin boling pada Sukan SEA 2027 di Kuching sekali gus memperkukuhkan venue sebagai lokasi boling antarabangsa yang terkenal.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Ibrahim, Pemangku Ketua Bahagian Bahagian Pembangunan Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dedia Sarini Ahmad, Presiden Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS) Sunny Si Poh Heng dan Naib Presiden ABAS Shaifulbari Shukri. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim