SIMUNJAN: Kerjasama erat antara Surau Darul Ibadah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sageng Hilir dalam menganjurkan program keagamaan bersama disifatkan sebagai contoh terbaik penyatuan komuniti yang wajar diteruskan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, kerjasama sedemikian bukan sahaja memastikan kelancaran penganjuran program, malah mampu menghimpunkan penduduk dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan.
“Kerjasama dan gabungan antara Surau Darul Ibadah dengan JKKK Kampung Sageng Hilir ini merupakan satu contoh penyatuan komuniti yang amat baik dan membanggakan kerana kedua-dua pihak dapat bergabung menghimpunkan masyarakat dalam satu wadah.
“Saya berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan dari tahun ke tahun, di samping merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak khususnya para penderma yang telah menyumbang bagi menjayakan program keagamaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah/2026 Masihi peringkat Kampung Sageng Hilir yang dianjurkan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Surau Darul Ibadah dan JKKK Kampung Sageng Hilir, di sini pada Sabtu.
Menurut Awla, model kerjasama antara institusi keagamaan dan JKKK seperti yang dilaksanakan di Kampung Sageng Hilir perlu dicontohi kerana mampu memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.
Program yang berlangsung selama tiga malam bermula 11 hingga 13 September 2026 itu turut diserikan dengan pelbagai pengisian berbentuk keagamaan dan pendidikan, melibatkan penyertaan masyarakat setempat daripada pelbagai peringkat usia.
Antara pengisian yang diadakan ialah Pertandingan Berdzikir, Pertandingan Nasyid, Pertandingan Azan, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak serta Pertandingan Lagu Dakwah Kanak-Kanak.
Penganjuran pelbagai pertandingan tersebut bukan sahaja memeriahkan sambutan Maulidur Rasul, malah menjadi platform mencungkil bakat generasi muda serta menyemai kecintaan terhadap agama dan Rasulullah SAW dalam kalangan kanak-kanak dan masyarakat setempat. -EDISI UKAS