SIOTBC 2026: 663 Peserta Tempatan & Antarabangsa Berentap Dalam 13 Acara
KUCHING: Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026 (SIOTBC '26) yang berlangsung di Megalanes Sarawak dari 6 hingga 12 September 2026 telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan penganjuran sebanyak 13 acara pertandingan sekali gus menarik penyertaan keseluruhan seramai 663 orang peserta.
Kejohanan berprestij ini menyaksikan kehadiran 135 peserta bagi Divisyen Terbuka, 123 peserta bagi ‘Divisyen Classified’, 121 peserta bagi Divisyen 3DU, 103 peserta bagi Divisyen Bawah 21 Tahun, serta 69 peserta bagi Divisyen Cabaran.
SIOTBC 2026 menyaksikan penganjuran sebanyak 13 acara pertandingan iaitu kategori Sub-Division serta ‘Master Final’ Dan Acara Utama dengan Sub-Division merangkumi lapan acara iaitu kategori U13 Perempuan dan Lelaki, U14-16 Perempuan dan Lelaki, U17-19 Perempuan dan Lelaki, U20-22 Perempuan dan Lelaki.
Manakala, lima acara dipertangdingkan dalam Master Final dan acara utama merangkumi Master Final U21, Challenger Crown, 3DU Master, Classified Masters dan Open Last Man Standing.
Majlis penutupan SIOTBC 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian di Megalanes Sarawak, Batu Kawa di sini pada Sabtu.
Bagi saingan Sub-Division, kategori U13 Perempuan menyaksikan Nur Fathi Fatihah Mohammad Zakry dari Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS) Sarawak muncul juara diikuti Zandra Izzara Binti Fazreen Nizam (WIPERS) di tempat kedua dan Joy Ng Le Xuan dari Singapura di tempat ketiga.
Sementara itu, acara U13 Lelaki menyaksikan Khairul A'qiff Bin Khairul Atif dari Switch Bowling Academy memenangi tempat pertama, disusuli wakil Singapura iaitu Rhys Fong Chi Shing (Agape Bowling) di tempat kedua dan Koh Tiat Meng Wilbert (Bowling Is Science) di tempat ketiga.
Dalam acara U14-16 Perempuan, tempat pertama diraih oleh Natalie Chong Yi Wen dari Team Malaysia, dengan Arwynn Galleina Arthur Ray (ABAS Sarawak) dan Nayli Batrisyia Alya Nor Azlan (Switch Bowling Academy) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga manakala acara U14-16 Lelaki pula didominasi sepenuhnya oleh ABAS Sarawak dengan Muhammad Qaish Rayyan Mohammad Sabri meraih gelaran juara diikuti Saiful Iman Shah Abdullah meraih naib juara dan tempat ketiga milik Aiden Lim Zen Yao dari MOTIV.
Seterusnya, acara U17-19 Perempuan menyaksikan penguasaan penuh Team Malaysia apabila Adelia Nur Irwan Syazalee meraih kejuaraan, Intan Nor Edryana Nor Azliman menduduki tempat kedua, dan Qurratu'Ain Izdihar Mohd Pozi di tempat ketiga.
Bagi acara U17-19 Lelaki, Sayed Syawal Irfan Abdullah dari Team Malaysia muncul juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Eldred Kho Yek Zhen dan Muhammad Isyraq Iqbal Bin Ramadhan dari ABAS Sarawak.
Dalam acara U20-22 Perempuan, Nurul Anis Nabila Mohd Nizam dari Team Malaysia meraih johan, Lavinia Kho Jia Jie (ABAS Sarawak/SPI Malaysia) meraih naib johan, dan Nur Aleeya Syakirah Binti Awang Ali (Team Malaysia) mendapat tempat ketiga.
Acara U20-22 Lelaki pula menyaksikan kejuaraan milik Izz Naqiuddin Putera Bin Islahuddin dan tempat kedua diraih oleh Muhammad Danial Abu Samah dari Team Malaysia manakala tempat ketiga disandang oleh Jereniq Ho Shu Jin dari Sunway Megalanes.
Bagi kategori Master Final dan acara utama, acara Master Final U21 menyaksikan Lavinia Kho Jia Jie dari ABAS Sarawak/SPI Malaysia cemerlang menjuarai kategori tersebut diikuti Sean Nguyen Phuc Gia Dang dari Vietnam (Xproshop) di tempat kedua manakala tempat ketiga dikongsi bersama oleh Gerald Ethan Tony (ABAS Sarawak) dan Muhammad Aiman Syahin Bin Sulaiman (Team Malaysia).
Bagi acara Challenger Crown, kejuaraan menjadi milik wakil Hong Kong, China iaitu Hon Nga Pok Ambrose (Confia Proshop), disusuli Nur Amirah Ng dari Singapura (Agape Bowling) di tempat kedua serta Melvin Gilbert Gimang Anak Tingau (ABAS Sarawak) dan Phanupong Permpimol dari Thailand (Storm Thailand/MPP) di tempat ketiga bersama.
Bagi acara 3DU Master, Megat Zaqrul Haiqal Megat Zairudin meraih tempat pertama, manakala Izz Naqiuddin Putera Islahuddin dan Airel Amri Suhaimi dari Team Malaysia masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Dalam acara Classified Masters, Chong Jun Foo dari ABAS/Hero Bowling mengungguli kejohanan sebagai juara diikuti Li Zhen Yu dari Chinese Taipei di tempat kedua dan Abang Aqasha Abang Esmiera dari ABAS Sarawak di tempat ketiga.
Kemuncak kejohanan menyaksikan acara Open Last Man Standing yang dimenangi oleh pemain dari Chinese Taipei, Lin Yifeng, manakala tempat kedua disandang oleh Phanupong Permpimol dari Thailand, serta wakil Team Malaysia iaitu Muhamad Noor Hidayat Muhamad Nazri dan Muhammad Danial Abu Samah masing-masing di tempat ketiga dan keempat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim