Megalanes Bakal Dinaik Taraf Hadapi Sukan SEA 2027
KUCHING: Megalanes Sarawak, Batu Kawa yang dipilih sebagai venue acara tenpin boling bagi Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 akan menjalani beberapa kerja naik taraf kemudahan sebagai persiapan menghadapi temasya berkenaan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, peningkatan kemudahan tersebut termasuk peralatan berkaitan bagi memastikan venue berkenaan berada pada tahap yang sesuai untuk penganjuran Sukan SEA 2027.
"Biasanya sebelum Sukan SEA, kita akan mengadakan kejohanan untuk menguji peralatan dan juga pegawai kita sekali lagi.
"Ini dalam perancangan kita untuk tahun depan dan venue untuk boling Sukan SEA tahun depan memang di Megalanes Sarawak.
"Jadi, kita akan mengadakan sedikit peningkatan, peningkatan kemudahan dan juga mungkin perkakas yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak (SIOTBC) 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian di Megalanes Sarawak, Batu Kawa, di sini pada Sabtu.
Untuk makluman katanya, Megalanes Sarawak telah ditetapkan oleh Malaysian Tenpin Bowling Congress (MTBC) sebagai venue acara tenpin boling, manakala Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) telah mengenal pasti Sarawak sebagai lokasi penganjuran acara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Gerald memberitahu, pasukan boling Sarawak untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencapai sasaran yang ditetapkan.
Menurut beliau, Sarawak turut berharap lebih ramai pemain muda negeri ini dapat diserap ke dalam pasukan elit bowling Malaysia, khususnya menjelang Sukan SEA akan datang.
"Kita mengharapkan untuk Sukan SEA, pemain boling kita yang ada dalam pasukan elit Malaysia di mana ada beberapa orang, terutamanya pemain boling perempuan kita iaitu Nur Hazirah dan juga Gillian Lim yang masih dalam pasukan.
"Tapi kita mengharapkan juga yang lebih muda itu mendapat daripada Sarawak. Ini menunjukkan pertama, bahawa perkembangan ataupun pembangunan sukan bowling di Sarawak memang telah berkesan dan kita telah melahirkan beberapa orang elit negara," ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim