KLAS Sukan Bermotor Perkasa Penglibatan Wanita Sebagai ‘Race Marshal’
KUCHING: Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Sukan Bermotor Wanita 2026 – Race Marshal menjadi platform memperkasakan penglibatan wanita, khususnya golongan belia, dalam bidang sukan bermotor.
Program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai ilmu dan kemahiran sebagai race marshal menerusi pembelajaran teori serta latihan praktikal.
Majlis penutupan program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Sarawak (JBS Sarawak) itu dirasmikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, JBS Sarawak, Fatimah Abdul Rahman yang berlangsung di Auditorium, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak Kuching pada Sabtu.
Inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan untuk terus membangunkan sukan bermotor yang berpotensi menyumbang bukan sahaja kepada pembangunan sukan, malah sektor kejuruteraan automotif, pembuatan alat ganti, bahan komposit serta pelancongan sukan.
Penglibatan wanita dalam sukan bermotor juga terus diperkasakan bagi mewujudkan ekosistem sukan yang lebih inklusif, di samping menyediakan ruang untuk mencungkil bakat, membina kemahiran dan memperoleh pengalaman dalam bidang berkenaan.
Melalui pelaksanaan kursus tersebut, lebih ramai wanita berpengetahuan, berkemahiran dan bertauliah sebagai race marshal diharap dapat dilahirkan sekali gus memperkukuh pembangunan sukan bermotor di peringkat akar umbi, kebangsaan dan antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Presiden Sarawak Motorsports Association, John Ross, Penceramah merangkap Steward Motorsports Association of Malaysia (MAM), Ravindran S. Muniandy dan Penceramah merangkap Exco MAM serta Setiausaha Agung Sarawak Motorsports Association, Bronnie Marshall. -EDISI UKAS