Kerajaan Sarawak Terus Bersama Keluarga Mendiang Debra Moset
PADAWAN: Sokongan komuniti dan Kerajaan Sarawak akan terus diberikan kepada keluarga mendiang Jururawat Debra Moset, salah seorang daripada lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram pada 8 September lalu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, keluarga mendiang termasuk suami dan dua anaknya yang masih bersekolah tidak akan dibiarkan bersendirian dalam menghadapi trauma serta tekanan emosi susulan tragedi berkenaan.
“Dengan sokongan komuniti, sokongan Kerajaan Sarawak dan semua pihak, mereka akan tahu bahawa mereka tidak bersendirian. Bukan sahaja komuniti, tetapi sistem sokongan dalam masyarakat Sarawak bersama mereka dan kita akan terus bersama mereka dalam menghadapi keadaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di kediaman keluarganya di Kampung Semadang, di sini pada Ahad.
Datuk Dr Jerip turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas bantuan sebanyak RM100,000 yang disalurkan kepada keluarga mendiang, selain penyediaan pembiayaan pendidikan untuk dua anak mendiang yang masih bersekolah.
Menurut beliau, bantuan tersebut amat bermakna kepada keluarga kerana bukan sahaja memberi sokongan kewangan, malah menjamin kebajikan serta pendidikan anak-anak mendiang.
Datuk Dr Jerip turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan jenazah mendiang dari Miri hingga ke Kuching, termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), pihak pentadbiran kawasan Padawan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Polis Trafik, pemimpin masyarakat, media dan penduduk setempat.
Katanya, kerjasama pelbagai agensi dan komuniti telah memastikan urusan membawa jenazah mendiang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke kediaman keluarga di Kampung Semadang dapat dilaksanakan dengan lancar dan penuh penghormatan.
Jenazah mendiang Debra Moset dijadualkan dikebumikan esok jam 10.30 pagi di Tanah Perkuburan Gereja St. Patrick, Kampung Semadang.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian. -EDISI UKAS