Anak Mendiang Debra Kenang Ibu Sebagai Tegas Tapi Penyayang
PADAWAN: Mendiang Debra Moset dikenang anaknya sebagai seorang ibu yang tegas namun penyayang, selain sentiasa menjadi sumber inspirasi dalam kehidupan keluarganya.
Anak mendiang, Euodia Then Suling Debra berumur 15 tahun berkata, sikap ibunya yang banyak membantu orang ramai turut mendorongnya menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penrissen No. 1 itu, pada asalnya beliau bercita-cita untuk menjadi cef kerana minat memasak, namun berubah fikiran selepas melihat ibunya yang sentiasa membantu orang lain.
“Sebenarnya, cita-cita asal saya nak jadi chef sebab saya suka masak tapi saya tengok mak saya macam dia banyak bantu orang dan sebagainya, jadi saya rasa macam mahu nak juga jadi macam dia, saya nak bantu orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah kediaman mendiang di Kampung Semadang, di sini pada Ahad.
Tambahnya, minat mendalam terhadap bidang sains mendorongnya untuk memberitahu ibunya mengenai kecenderungan tersebut sebelum ibunya memohon untuk beliau melanjutkan persekolahan di sekolah berasrama penuh berasaskan bidang sains.
Euodia turut berkongsi bahawa mendiang ibunya sentiasa berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh serta tidak terlalu gementar ketika menghadapi peperiksaan.
Mengingati ibunya, Euodia mengenangkan mendiang Debra sebagai seorang ibu yang tegas namun penyayang, selain seorang yang pembersih dan gemar memasak.
Sementara itu, jenazah mendiang Debra Moset tiba di rumah kediaman sekitar 12.30 tengah hari untuk diberikan penghormatan terakhir oleh saudara-mara, rakan-rakan, kenalan serta orang ramai yang mengenali mendiang.
Mendiang Debra berumur 40 tahun merupakan salah seorang daripada lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) berhampiran Long Lellang, Ulu Baram pada Selasa lalu.
Mendiang yang bertugas sebagai jururawat FDS ketika kejadian sedang menjalankan tugasan bersama pasukan perubatan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.
Dalam nahas berkenaan, turut terkorban juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry dan jururawat Jessie Paya Jok. -EDISI UKAS