Cip GaN Tempatan Buka Laluan Sarawak Tembusi Industri AI Global
KUCHING: Pembangunan cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama rekaan tempatan Sarawak menerusi SMD Semiconductor Sdn. Bhd. membuka peluang kepada negeri ini untuk menembusi industri kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuasa pintar di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd, Dato Shariman Jamil berkata, cip dikenali sebagai keteq.GaN itu direka untuk meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga, khususnya bagi memenuhi keperluan infrastruktur pusat data AI yang semakin berkembang.
Menurutnya, teknologi semikonduktor kuasa memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan tenaga lebih cekap, termasuk dalam sistem tenaga boleh diperbaharui, penyimpanan tenaga, grid pintar dan elektronik kuasa industri.
“Sarawak mesti bergerak melangkaui peranan sebagai pembekal tenaga dan pengguna AI kepada pencipta teknologi semikonduktor, harta intelek serta penyelesaian bernilai tinggi untuk pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi bertajuk Beyond Energy: Sarawak’s Semiconductor Frontier – Powering AI and Green Industrial Evolution sempena Program U.S.–Sarawak AI for Business 2026 di SMD Semiconductor, di sini, pada Isnin.
Dato Shariman menjelaskan, Sarawak mempunyai kelebihan strategik menerusi gabungan sumber tenaga boleh diperbaharui, pembangunan teknologi semikonduktor dan aplikasi AI yang boleh saling melengkapi dalam membentuk ekosistem industri berteknologi tinggi.
Katanya, pembangunan ekosistem bersepadu itu berpotensi meletakkan Sarawak pada kedudukan lebih kompetitif dalam ekonomi AI global, khususnya menerusi penyelesaian pengkomputeran cekap tenaga dan sistem kuasa pintar.
Program sehari bertemakan Use AI Safely, Grow with Confidence itu dianjurkan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, manakala SMD Semiconductor bertindak sebagai rakan sumber industri dan teknologi tempatan.
Ia menghimpunkan 120 peserta daripada agensi kerajaan, sektor perniagaan, industri, institusi pendidikan, kumpulan belia dan media.-EDISI UKAS