SAMARAHAN: Pengundi muda digesa menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian 12 Disember ini bagi memastikan suara generasi baharu turut memainkan peranan dalam menentukan hala tuju kepimpinan Sarawak untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan usia kelayakan mengundi kepada 18 tahun menjadikan golongan belia antara kelompok penting dalam proses demokrasi negeri.
“Pilihan raya bukan sekadar untuk menunaikan hak mengundi, tetapi merupakan satu amanah. Setiap pengundi perlu menilai siapa yang layak memimpin negeri dan mewakili mereka untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Samarahan 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Halaman Samarahan, pada Isnin.
Menurutnya, pengundi perlu menggunakan hak mereka dengan menilai calon serta kepimpinan yang mampu membawa pembangunan, menjaga kebajikan rakyat dan mentadbir negeri dengan baik.
Dato Sri Abdul Karim turut berharap golongan muda yang berada di Sarawak ketika hari pengundian dapat keluar mengundi, terutama mereka yang layak tetapi masih berada di kawasan masing-masing, memandangkan sebahagian belia sedang melanjutkan pengajian di luar negeri.
Katanya, penyertaan golongan muda dalam proses demokrasi penting kerana mereka turut mempunyai kepentingan terhadap dasar, pembangunan dan peluang yang bakal menentukan masa depan negeri.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Sarawak, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Ibanez Jeffery Guang, Hazrin Sunaini, Shahril Haqim, Asyafiee, George S.Embie & Natalie Cherinie Johnny