BEKENU: Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 dijangka diteruskan pada 2027 bagi memastikan golongan berpendapatan rendah, khususnya pelajar dan masyarakat luar bandar, terus mendapat akses kepada lesen motosikal secara sah tanpa dibebani kos berkaitan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kesinambungan program berkenaan wajar diberi perhatian susulan manfaatnya dalam membantu rakyat mendapatkan lesen motosikal yang sah, selain meringankan beban kewangan keluarga.
“Kerajaan akan berusaha meneruskan program yang terbukti memberi manfaat kepada rakyat dan berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan pada 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen Sibuti, di sini pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, seramai 845 peserta dari kawasan Sibuti menerima manfaat program berkenaan, sekali gus memberi peluang kepada mereka mendapatkan lesen motosikal secara sah.
Datuk Hasbi berkata, kerajaan turut memperluas akses kepada inisiatif berkenaan menerusi Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) yang memberi tumpuan kepada pelajar sekolah menengah.
Menurutnya, seramai 60,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negara, termasuk lebih 2,600 pelajar di Sarawak, bakal menerima manfaat menerusi program tersebut.
Katanya, pelaksanaan MyB2S membolehkan pelajar mendapatkan lesen motosikal lebih awal, sekali gus memastikan mereka memiliki lesen yang sah selepas tamat persekolahan bagi memenuhi keperluan mobiliti harian.
“Pendekatan ini juga dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga, khususnya bagi pelajar daripada golongan yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, pelaksanaan program berkenaan turut memberi tumpuan kepada golongan luar bandar yang bergantung kepada motosikal sebagai salah satu kaedah utama untuk bergerak ke sekolah, tempat kerja dan menjalankan urusan harian.
Hadir sama, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili. -EDISI UKAS