“Mami, Kakak Tunggu Mami” - Kenangan Terakhir Anak-anak Bersama Debra
PADAWAN: “Mami, kakak tunggu Mami” menjadi ungkapan anak bongsu mendiang Jururawat Debra Moset, kini menjadi antara kenangan paling menyayat hati keluarga selepas mendiang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu.
Bagi anak sulungnya, Euodia Then Suling, 15, kepulangan ibunya ke Kampung Semadang pada 3 September lalu menjadi kenangan terakhir yang paling bermakna, terutama apabila mendiang sempat menyediakan ayam kicap kegemarannya.
“Pada 3 September, dia balik dan saya beritahu dia, ‘Mami, kakak nak makan ayam kicap,’ sebab ayam kicap dia memang paling sedap.
“Lepas itu dia terus buat untuk saya. Itu memori yang paling tidak boleh dilupakan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Semadang, pada Ahad.
Menurut Euodia, komunikasi terakhir bersama ibunya berlaku pada hari kejadian apabila beliau menghantar mesej kepada mendiang sekitar jam 3.27 petang.
“Saya ada ‘chat’ dengan dia. Saya tanya, ‘Mami balik ataupun tidak semasa hari jadi saya bulan depan tetapi dia belum baca kerana mesej tersebut tidak diterima oleh dia,” katanya.
Euodia berkata, ketika pertama kali mengetahui mengenai nahas tersebut, beliau masih berharap ibunya terselamat dan sukar mempercayai bahawa mendiang telah pergi buat selama-lamanya.
“Saya ingatkan dia masih hidup sebab orang kata dia sempat melompat. Saya memang tidak percaya yang mak saya sudah tidak ada,” katanya.
Sementara itu, adiknya, Eugene Then Kuling, 12, masih mengingati lambaian terakhir ibunya ketika menghantar mendiang Debra ke lapangan terbang pada 3 September lalu.
Menurut Eugene, tiada pesanan khusus yang disampaikan ibunya ketika mereka berpisah selain lambaian sebelum mendiang berangkat kembali bertugas di Miri.
Namun, lambaian tersebut kini menjadi kenangan terakhir yang amat berharga buat dirinya.
Bagi Euodia dan Eugene, kepulangan singkat ibu mereka ke kampung, ayam kicap yang dimasak untuk anak serta lambaian terakhir sebelum berangkat bertugas kini menjadi kenangan yang akan terus mereka simpan. -EDISI UKAS