Perangi Dadah Secara Menyeluruh, Jenayah Lain Turut Dapat Dibendung
LAWAS: Usaha membanteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh perlu diperkukuh menerusi kerjasama antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tindakan terhadap kegiatan berkenaan turut berupaya membantu mengurangkan kadar jenayah lain.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pembanterasan jenayah dadah memerlukan penglibatan semua pihak termasuk keluarga, sekolah, pemimpin masyarakat dan agensi penguatkuasaan.
“Bila kita menggempur kes-kes dadah ini, kes-kes jenayah yang lain boleh turun secara drastik. Sebab itu jenayah dadah ini perlu kita banteras habis-habisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ‘Town Hall Discussion’ PDRM Kontinjen Sarawak 2026, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, pendidikan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah perlu diterapkan sejak di bangku sekolah bagi membentuk kesedaran awal dalam kalangan generasi muda.
Katanya, keluarga juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak tidak mudah terjebak dengan penyalahgunaan dadah, manakala masyarakat perlu tampil berkongsi maklumat dengan pihak polis bagi membolehkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Datuk Mohamad Zainal turut mengingatkan masyarakat supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap jenayah komersil, khususnya penipuan dalam talian yang semakin memerlukan perhatian.
Di Lawas, kerugian akibat kes jenayah komersil direkodkan kira-kira RM483,000 bagi tempoh Januari hingga 31 Ogos 2026.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat pihak berkuasa sebelum melakukan transaksi yang mencurigakan dan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Beliau pada masa sama menegaskan sebarang dakwaan berkaitan tahap keselamatan dan jenayah perlu dibuat berdasarkan fakta serta statistik yang tepat dan bukan dipengaruhi sentimen.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sarawak, SAC Roselina Daud. -EDISI UKAS